Perkataan Islam berasal dari bahasa
Arab yang bermaksud kesejahteraan, keamanan, keharmonian dan ia bermaksud
berserah kepada Yang Maha Pencipta dengan mentauhidkan-Nya dengan keyakinan
yang jitu serta melaksanakan segala suruhan serta meninggalkan segala
larangannya. Pengertian Islam ialah agama yang diciptakan Allah, lengkap dan
sempurna, merangkumi segala peraturan dan undang-undang bagi mengatur kehidupan
manusia termasuk individu, keluarga, masyarakat, dan negara serta menghubungkan
manusia dengan Tuhan, manusia dengan alam semesta untuk menjamin kesejahteraan,
keselamatan, kesempurnaan, dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Islam sebagai “Ad-Dinn”
mengajar dan menyuruh umatnya berwawasan, memikirkan kepentingan dunia dan masa
depan secara seimbang dan selari. Islam mementingkan kepentingan material yang
sama seperti kepentingan rohani, agama, dan kemajuan dalam kehidupan di Dunia
mahupun di Akhirat.
Perkataan “Ad-Dinn” dalam bahasa
Arab mempunyai makna bagi agama. Ia juga bermaksud cara hidup, bentuk hidup,
peraturan hidup, dan seumpamanya. Islam adalah agama dan bukan semua agama
adalah Islam. Oleh itu, jika digabungkan dua perkataan iaitu “Ad-Dinn” dan “Islam”
ia akan menjadi Agama Islam jika ditafsirkan secara bahasa. Firman Allah
mafhumnya : “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” (Al-Imran : 19).
Falsafah Islam
Falsafah Islam lebih memberi penekanan terhadap kepercayaan dan mengawal pemikiran dan tindakan. Falsafah Islam juga boleh dibahagikan beberapa tafsiran mengikut cabang-cabang falsafah berikut:
- Metafizik : Mengenai kebenaran terhadap ke-Esaan Allah S.W.T sebagai pencipta. Banyak tanda-tanda kebenaran dapat dibuktikan menerusi penciptaan dan kewujudan makhluk seperti manusia, haiwan, flora, fauna dan sebagainya yang terdapat dimuka bumi serta alam semesta.
- Epistemologi : Ilmu yang benar bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah dan ilmu-ilmu aqli (ilmu akal) dimana ia dijadikan satu landasan untuk pengurusan kehidupan.
- Aksiologi : Nilai kecantikan yang membentuk watak dan
akhlak dalam diri manusia.
- Logik : berfikir secara bijaksana untuk mencari kebenaran yang hakiki.
Falsafah Pendidikan
Islam
Kewujudan Falsafah
Pendidikan Islam merupakan satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu
penghayatan tentang Islam yang berteraskan Al-Quran dan A-Sunnah bagi membentuk
sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang
mempunyai tanggungjawab di muka bumi.
Konsep Falsafah Pendidikan Islam
Falsafah
Pendidikan Islam merupakan suatu proses yang memupuk seluruh potensi semulajadi
manusia dari aspek Intelek, Akhlak, Rohani dan Jasmani
secara bersepadu dan seimbang.
Matlamat Falsafah Pendidikan
Islam
Matlamat utama Falsafah Pendidikan Islam ialah untuk membentuk dan memperkembangkan insan supaya menjadi muslim yang berilmu,beriman, dan beramal soleh di dunia mahupun di akhirat.
Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam
terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia
Kewujudan
Falsafah Pendidikan Islam telah mempengaruhi detik perkembangan pendidikan di
Malaysia. Pengaruh yang telah diberikan oleh Falsafah Pendidikan Islam dapat
dikategorikan kepada 4 iaitu dari aspek Jasmani, Rohani, Emosi,
dan Intelek.
Dari
aspek Jasmani, pengaruh Falsafah Pendidikan Islam telah mewujudkan pendidikan
jasmani di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan jasmani juga
memberi kepentingan terhadap membentuk insan yang menyeluruh dari segi
disiplin, kejujuran, dedikasi terhadap tanggungjawab yang dipikul. Di samping
itu, ia juga menekankan para pelajar dan guru untuk menjalani gaya hidup yang
lebih sihat.
Dari
aspek Rohani, Falsafah Pendidikan Islam juga menekankan unsur rohani
dalam diri insan agar berkait rapat terhadap aspek keimanan kepada Allah S.W.T.
menurut Sarju Hamzah(2010) , semakin tinggi amalan seseorang, semakin mantaplah
rohaninya. Begitulah yang dapat dilihat pada aspek kerohainan iaitu dengan
memantapakan amalan untuk beriman kepada Allah S.W.T maka unsur kerohanian bagi
seseorang insan juga akan meningkat.
Falsafah
Pendidikan Islam juga memberi pengaruh dari aspek Emosi. Dengan pengaruhnya,
ia akan melahirkan insan yang seimbang dari segi emosinya dalam memastikan
pertumbuhan yang seimbang dari pelbagai aspek dalam perjalanan untuk mencapai
tujuan hidup yang ditetapkan oleh setiap individu serta melahirkan insan yang
berdaya saing dan bersemangat dalam mengharungi tekanan dan cabaran hidup.
Dari aspek Intelek pula,
Falsafah Pendidikan Islam telah memberi pengaruh terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia dimana
hasilnya telah wujud beberapa kaedah dalam skop pembelajaran. Sebagai contoh, Kurikulum Standard Pra-sekolah, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR), Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).)
%20terhadap%20perkembangan%20pendidikan%20di%20Malaysia.png)
Comments
Post a Comment